Tuesday, April 28, 2009

HafidzRecord:Perbahasan hukum muzik

Sambungan:-

PERBINCANGAN DALIL-DALIL YANG DIJADIKAN SEBAGAI HUJAH PENGHARAMAN NYANYIAN

1) Perbincangan ayat (ومن الناس من يشتري لهو الحديث)

Ayat ini ditujukan kepada golongan yang menghadiri majlis-majlis arak yang disertai oleh penyanyi-penyanyi wanita yang memberahikan yang sememangnya telah jelas haramnya. Jelasnya nyanyian seperti ini sahaja yang diharamkan oleh Islam. 11

2) Hadith (الغناء ينبت النفاق في القلب ) adalah Hadith Dhaif kerana salah seorang perawi hadith ini tidak diketahui siapakah beliau yang sebenarnya.

Menurut pendapat Imam Al-Baihaqi, hadith ini bukan daripada kalam Rasulullah tetapi merupakan kata-kata Ibn Mas`ud sendiri.

Penerangan lanjut mengenai perbincangan dalil-dalil yang digunakan dalam masalah nyanyian ini akan diterangkan secara terperinci pada bab yang akan datang.

Pendapat Yang Lebih Rajih

Setelah kita teliti semua pendapat yang diutarakan oleh para ulamak, dapat disimpulkan bahawa nyanyian-nyanyian yang baik serta tidak mengandungi unsur-unsur maksiat dan negatif apabila tidak disertai dengan bunyi-bunyian alat muzik maka hukumnya adalah harus. Ini merupakan pendapat ulamak-ulamak Islam yang terkemuka seperti Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Dr. Abdul Karim Zaidan, Dr. Wahbah Al-Zuhaili dan sebagainya. 12


Nyanyian Yang Disertai Dengan Alat-Alat Muzik

Kita akan membincangkan di dalam tajuk ini beberapa perkara:
a) Alatan-alatan muzik yang dikenali di sisi masyarakat Arab.
b) Pendapat fuqaha' mazhab dalam masalah nyanyian yang disertai dengan alat muzik.
c) Beberapa dalil yang berkaitan dengan alat-alat muzik.
d) Perbincangan dalil.
e) Pendapat yang paling tepat(الراجح).

a) Beberapa Contoh Alat-Alat Muzik.

(a.i) - yang diketuk atau dipalu

1) ( دف ) bermaksud kompang yang mempunyai satu permukaan sahaja yang diikat dengan kulit.

2) ( طبل ) atau ( الكبار) bermaksud gendang yang mempunyai 2 permukaan sama ada kedua-dua permukaan tersebut diikat dengan kulit ataupun satu permukaan sahaja yang diikat dengan kulit. Contoh: Gendang silat.

3) ( الكوبة ) bermaksud gendang yang mempunyai 2 permukaan tetapi agak sempit di bahagian tengah gendang ini. Gendang ini dipukul pada kedua-dua permukaannya.

4) ( قضيب ) Qhadib adalah sebatang kayu yang digunakan untuk memukul benda-benda keras bertujuan untuk menghasilkan bunyi. Contoh: memukul meja dengan sebatang kayu.

(a.ii) alat-alat muzik yang dipetik dan bertali

1) ( رباب ) sejenis alat muzik bertali satu.

2) (عود ) ( بربط ) (كران ) (طنبور ) kesemuanya merupakan alat-alat muzik yang bertali atau dipanggil kecapi.

(a.iii) yang bertiup

(مزمار ) ( بوق ) (يراع ) kesemuanya merupakan alat-alat muzik yang ditiup yang mungkin boleh diertikan dengan seruling, terompet dan sebagainya.

(a.iiii) nama alat muzik yang umum

( مِعْزفة ) adalah bermaksud alat-alat muzik . Perkataan ini bersifat umum kerana segala alat-alat muzik diertikan sebagai ( معازف )

b) Pendapat Para Fuqaha' Dalam Masalah Bermain Alat-Alat Muzik.

(b i) Mazhab Hambali

Ibn Qudamah telah membahagikan hukum bermain alat-alat muzik kepada 3 bahagian hukum:-

a) Haram: Segala alat-alat muzik yang ditiup dan bertali adalah haram di sisi Mazhab Imam Ahmad Ibn Hanbal seperti seruling, terompet dan sebagainya.

b) Harus: Harus bermain kompang di majlis-majlis perkahwinan. Sekiranya majlis yang dimainkan dengan paluan kompang itu bukan majlis perkahwinan, sebahagian Hanabilah memakruhkannya dan sebahagian yang lain mengharuskan paluan kompang seperti majlis-majlis khatan dan lain-lain.

c) Makruh: Menggunakan ( قضيب ) atau kayu yang digunakan untuk memukul apa saja bagi mengeluarkan bunyi adalah makruh hukumnya sekiranya diiringi dengan perbuatan-perbuatan yang dimakruhkan ataupun diharamkan seperti bertepuk tangan, menyanyi ataupun menari.

Namun sekiranya ( قضيب ) diketuk dalam keadaan tidak diiringi dengan perkara-perkara yang makruh atau haram, maka hukumnya adalah harus. Ini kerana ( قضيب ) tidak akan dapat menghasilkan bunyi atau nada secara bersendirian tetapi ia memerlukan kepada benda-benda keras yang lain seperti batu, kayu, meja dan sebagainya untuk menghasilkan bunyi. 13

(b ii) Mazhab Syafi`e

Kita boleh simpulkan bahawa pendapat dalam mazhab Syafi`e berhubung dengan nyanyian yang disertai dengan alat-alat muzik terbahagi kepada tiga sudut:
a) Haram : Segala alat-alat muzik yang bertali, ditiup dan segala alat muzik yang dipalu melainkan kompang adalah haram. Jelasnya seruling, kecapi, gitar, gendang yang mempunyai 2 permukaan seperti (طبل / كوبة ) adalah haram di sisi mazhab Syafie.
b) Makruh : Para ulamak dalam mazhab Syafi`e memakruhkan penggunaan ( قضيب ) kerana (قضيب ) hanyalah alat yang digunakan sebagai pengetuk yang mengikut hukum nyanyian itu sendiri. Oleh yang demikian, (قضيب ) adalah makruh kerana nyanyian tanpa alat adalah makruh di sisi fuqaha' dalam mazhab Imam Syafi`e.
c) Harus : Menurut fuqaha' dalam mazhab Syafi`e, kompang ( دف ) adalah harus dipalu dan dimainkan di majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis khatan (bersunat). Sekiranya paluan kompang dimainkan pada majlis-majlis selain daripada 2 majlis yang disebutkan tadi, sebahagian fuqaha dalam mazhab Imam Syafi`e mengatakan tidak harus dan sebahagian yang lain mengatakan harus. Walau bagaimanapun pendapat yang masyhur di sisi Imam Al-Nawawi adalah tidak harus hukumnya memalu kompang di majlis-majlis selain daripada majlis perkahwinan dan majlis khatan. 14

(b.iٍii) Mazhab Maliki :

Hukum bermain alat-alat muzik di sisi mazhab Maliki dipecahkan kepada 3 bahagian:

a)Harus : Harus memalu kompang ( دف ) dan gendang ( طبل ) di majlis perkahwinan. Sekiranya kompang atau gendang dipalu pada majlis-majlis selain perkahwinan, pandangan yang masyhur dalam mazhab Maliki ialah tidak harus. Namun begitu, ada pendapat yang lain di dalam mazhab Maliki yang mengatakan harus memukul kompang dan gendang sekalipun dimainkan pada majlis-majlis selain daripada majlis perkahwinan.

b)Makruh : Makruh hukumnya meniup alat-alat muzik yang ditiup seperti seruling dan terompet.

c)Haram : Haram hukumnya menggunakan alat-alat muzik yang bertali seperti gitar, kecapi, biola dan sebagainya. 15

(b.iv) Mazhab Hanafi

Menurut Ibn Qayyim Al-Jauziyyah, mazhab Imam Abu Hanifah merupakan mazhab yang paling memandang berat hukum nyanyian. Menurut beliau, sebahagian besar ulamak dalam mazhab Hanafi mengharamkan semua alat-alat muzik seperti kompang, seruling dan sebagainya tanpa sebarang pengecualian. 16

Walaupun begitu, sekiranya kita tinjau pendapat Abu Yusuf )salah seorang ulamak besar dalam mazhab Hanafi), beliau mengharuskan paluan kompang ( دف ) pada hari-hari raya, majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis yang lain. 17

c) Dalil-dalil yang digunakan sebagai sumber oleh para fuqaha' dalam meletakkan hukum nyanyian yang diiringi dengan alat-alat muzik.Dalam bab ini kita boleh pecahkan kepada 2 pecahan.

i. Dalil-dalil yang menjurus kepada pengharaman
ii. Dalil-dalil yang menjurus kepada pengharusan.
i.) Dalil-dalil yang menjelaskan haramnya nyanyian dan alat-alat muzik
Dalil pertama:

Firman Allah Taala:

ومن الناس من يشترى لهوالحديث ليضل عن سبيل الله بغير علم ويتخذها هزوا أولئك لهم عذاب مهين..... (لقمان 6)

Maksudnya:Dan di kalangan manusia ada orang yang membeli ( لهوالحديث )untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan Allah tanpa sebarang pengetahuan dan mengambilnya (jalan Allah) sebagai satu olok-olokan. Mereka ini akan memperolehi azab yang menghinakan.
Menurut Ibn Mas`ud, ( ( لهو الحديثadalah bermaksud nyanyian. Pendapat ini telah disokong oleh Ibn Umar. 18
Dalil kedua: Firman Allah:

وإذا سمعوا اللغو أعرضوا عنه وقالوا لنا أعمالنا ولكم أعمالكم سلام عليكم لا نبتغى الجاهلين (القصص 55)

Maksudnya:Dan apabila mereka mendengar lagha (perkara yang sia-sia) lantas mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalanmu, salam sejahtera ke atasmu, kami tidak akan mencari golongan yang jahil.
Kesimpulan: Nyanyian merupakan salah satu perkara yang sia-sia. Oleh itu nyanyian wajib dijauhi berpandukan ayat di atas. 19
Dalil ketiga:
Sabda Nabi S.A.W:

20 الغناء ينبت النفاق فى القلب كما يُنبت الماء البَقل..... رواه ابو داود
Maksudnya : Sesungguhnya nyanyian menimbulkan sifat nifaq di dalam hati.

Dalil keempat:

عن علي بن أبي طالب قال: قال رسول الله
اذا عملت أمتي خمس عشرة خصلة حل بها البلاء..... منهن.... واتخذوا القينات والمعازف ....( رواه الترمذي )

Maksudnya:Apabila umatku melakukan 15 perkara maka mereka layak untuk menerima bala Allah. Antara 15 perkara itu ialah “apabila mereka mengambil penyanyi-penyanyi wanita dan memainkan alat-alat muzik.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Al Tarmizi. 21
Dalil kelima:

22عن نافع : أن ابن عمرسمع صوت زَمَّارة راعٍ فوضع أُصْبُعَيْه فى أذنيه وعدَل راحلتَه عن الطريق وهو يقول "يا نافع أتسمع ؟ فأقول نعم. فيمضِي حتى قلت : لا. فرفع يده وعدل راحلته إلى الطريق وقال : رأيت رسول الله سمع زَمَّارةَ راع. فصنع مثل هذا........ ( رواه أحمد وابن ماجه وأبو داود )

Dalil keenam:

23 ما روته عائشة أن النبي قال : إن الله حرم القينة وبيعها وثمنها وتعليمها......... ( رواه الطبراني في الاوسط )

Maksudnya:Sesungguhnya Allah Taala mengharamkan jariah-jariah (wanita yang menyanyi), mengharamkan penjualannya, mengharamkan harganya dan mengharamkan mengajarnya
.

Dalil ketujuh:

24عن معاوية قال : نهى رسول الله عن تسع وأنا أنهاكم الآن... فذكر فيهن الغناء والنوح....... رواه الطبراني فى المعجم الكبير 19/373-374

Maksudnya: Daripada Saidina Mu`awiyah, beliau telah berkata “nabi melarang daripada 9 perkara dan aku akan melarang kamu daripadanya sekarang” lantas Saidina Mu`awiyah menyebut larangan-larangan tersebut. Antaranya ialah nyanyian dan meratapi kematian.

Dalil kelapan:

25 عن انس بن مالك قال: قال رسول الله:
من جلس إلى قينة فسمع منها صب الله في أذنيه الآنك يوم القيامة
Maksudnya: Barangsiapa yang duduk bersama-sama penyanyi wanita dan mendengar nyanyian mereka, Allah akan menuangkan timah cair ke dalam kedua-dua telinga mereka pada hari kiamat.

Dalil kesembilan:

26عن عائشة قالت : قال رسول الله:
من مات وعنده جارية مغنية فلا تصلوا عليه
Maksudnya : Barangsiapa yang mati dalam keadaan di sisinya ada hamba wanita yang menyanyi, maka jangan kamu solati jenazahnya.

Dalil kesepuluh:

27ما روي أن أبا عامرأو أبا مالك الأشعري سمع النبي صلى الله عليه وسلم يقول:
ليكُونَنَّ مِنْ أمتي أقوامٌ يستحِلُّون الحِرَ والحرير والخمر والمعازف ولَينْزِلَنَّ أقوام الى حنْبِ عَلَمٍ يَرُوْحُ عليهم ِبسارِحَةٍ لهُمْ, يأتيهِمْ يعنى الفقيرَ لحاجةٍ فيقولوا "ارْجِعْ إلينا غدًا" فيُبَيِّتُهمُ الله ويضعُ العَلَمَ ويَمْسَخُ آخرين قردةً وخنازيرَ إلى يوم القيامة.......رواه البخارى

Maksudnya:Akan ada daripada umatku satu kaum yang menghalalkan zina, sutera, arak jua alat-alat muzik dan akan singgah beberapa kaum di sebelah gunung yang tinggi lantas datang pengembala bersama binatang-binatang ternakan kepada mereka kerana inginkan pertolongan dan hajat lantas mereka berkata “datang semula pada kami besok hari” Maka Allah menghancurkan mereka pada waktu malam dan menghempapkan gunung ke atas sebahagian mereka dan mengubah rupa sebahagian yang lain kepada kera dan babi sehingga hari kiamat.

Dalil kesebelas:
عن عقبة بن عامر أن النبي قال:
كل شيء يلهو به الرجل فهو باطل الا تأديبه فرسه ورميه بقوسه وملاعبته لامرأته (أخرجه اصحابه السنن الاربعة)

Maksudnya: Setiap perkara yang dilakukan secara seronok oleh seseorang lelaki, maka perkara itu adalah batil melainkan :
1) memelihara kudanya
2) melemparkan anak-anak panah
3) bergurau senda dengan isterinya

Kesimpulan: Nyanyian tidak termasuk di dalam tiga perkara yang dinyatakan di dalam hadith
ini. Maka jelasnya hukum nyanyian adalah haram. 28

Dalil kedua belas:

29عن ابي مالك الأشعري أنه سمع النبي يقول:
لَيَشْرَبَنَّ ناسٌ من أمتي الخمر يُسَمُّوْنَها ِبغَيْر اسمها يُعْزَفُ على رُؤُوْسِهمْ بالمعازف والمُغَنِّيات يَخْسِفُ اللهُ بهم الأرض ويجعلُ منهم القِرَدة والخنازير(رواه ابن ماجه)

Maksudnya:Satu golongan daripada umatku akan minum arak, mereka menamakan arak bukan dengan namanya. Alat-alat muzik dan penyanyi-penyanyi wanita dimainkan di atas kepala-kepala mereka lantas Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam perut bumi dan Allah menjadikan daripada kalangan mereka bertukar menjadi kera dan babi .

Bersambung.....

No comments:

Post a Comment